Cuti semester 4 bulan telah bermula. Apa yang harus saya lakukan dalam tempoh selama ini?

Baru-baru ini saya bersama kawan-kawan menyertai "Program Sebiru Kota, Sehijau Desa".

Mengapa biru? Mengapa hijau?

Biru
Melambangkan kepesatan pembangunan dikota menyebabkan kita lebih banyak melihat langit yang biru di dinding-dinding kaca bangunan. Hasil pantulan cahaya menyebabkan kita sedar bahawa hanya lebih banyak warna biru yang terhasil di kota berbanding warna hijau iaitu warna yang sinonim dengan warna pokok dan tumbuh tumbuhan.

Hijau
Melambangkan warna semulajadi yang terhasil daripada pohon dan tumbuh tumbuhan yang terdapat di desa yang belum lagi dicemari dengan pembangunan seperti di kota. Kampung Ulu Sungai, Raub, Pahang menyimpan pelbagai sejarah dan kenangan suka duka sepanjang 4 hari 3 malam kami berkampung di sana.

Arrrrgggghhhh... Tak ada line telefon! Bagaimana mahu hidup!?

4 hari yang begitu menenangkan. Tanpa gangguan deringan telefon bimbit dan pesanan ringkas. Saya kembali menyelongkar isi alam. Banyak dan sungguh banyak ilham yang terhasil disini. Suatu tempat yang asing bagi segelintir manusia. Saya lebih suka menjelajah isi alam daripada menjelajah kota membangun yang membingit dan menyesakkan.

Mengajar anak desa mengenai kegunaan komputer

Penggunaan komputer dan internet bagi kita yang sudah biasa menggunakannya adalah suatu perkara biasa. Anak-anak sudah diterapkan dengan kecanggihan dan kemajuan dalam bidang ICT. Tapi, pernah kita tahu. Masih ada segelintir anak-anak kecil yang tidak tahu menggunakan komputer sedangkan mereka tahu apa itu komputer. Saya merasakan inilah pengalaman yang paling berharga dalam hidup saya. Sekurang-kurannya saya dan rakan-rakan dapat memberikan sedikit pengetahuan dan peluang kepada mereka mempelajari cara-cara untuk mengendalikan komputer.

Disinilah kami tinggal untuk 4 hari 3 malam

Sebuah pondok buluh beratapkan rumbia yang usang dan mungkin juga bocor pabila hujan menimpa (Alhamdulilah sepanjang kami disana, cuaca elok sahaja. Tidak hujan) Disini jugalah kami tidur tanpa bantal dan tilam yang empuk. Yang ada hanyalah beralaskan tikar, inilah erti kepayahan yang saya kongsikan bersama masyarakat kampung disini.Bukan mudah untuk semua orang melaluinya sepanjang hayat mereka. Kedinginan air sungai pada setiap pagi mencucuk-cucuk hingga ke tulang masih dirasai hingga ke hari ini. Berkemban, ya.. Anak-anak dara duduk di tepi sungai dengan berkemban. Hanya air sungai sumber air minum dan untuk memasak.

Sesi pembelajaran anak-anak desa di sekolah
Kami sempat bergotong royong bersama masyarakat kampung untuk memasak gulai kerbau. 2 ekor kerbau telah tumbang pada hari itu. Kenduri seakan-akan pesta bagi masyarakat desa di sana. Kami menjadi terlalu gembira dan terharu.

Gulai Kerbau

Bergotong royong
Ihsan masyarakat kampung disitu, kami berpeluang belajar cara-cara berakit di Sungai Pahang. Aktiviti yang sangat menarik walaupun hampir keseluruhan badan saya lebam-lebam.Bukan mudah mengawal rakit dengan arus yang deras dan sekali sekala bertemu dengan jeram. Aduh, mencabar sungguh!



Gambar kenangan sebelum pulang ke kota yang biru
Kampung Ulu Sungai, Raub, Pahang
telah ku jelajah isi mu
mohon izinkan aku
meneroka dengan lebih
lebih daripada apa yang aku dapatkan
aku sentiasa mahu akan isimu
maka, berikahlah ruang itu.


0 Ulasan