22 November yang lalu, berlangsungnya majlis perkahwinan kakak sepupu saya, Nurul Hidayah dan pasangannya, Mohd Shahril di Segamat, Johor. Penghujung bulan November dan awal bulan Disember biasanya merupakan musih hujan. Beberapa tempat di pantai timur sudah ditenggelami air dalam tempoh berkenaan. Oleh demikian, kemungkinan untuk hujan pada hari berlangsungnya perkahwinan itu sangat tinggi. Maka, inilah fenomena yang dikhuatiri akan membantutkan sedikit kemeriahan dalam majlis tersebut.


Bagaimana panasnya lada.
begitulah panasnya hari,

bagaimana merahnya lada,

begitulah merahnya matahari.



Itulah pantun yang dibaca ketika mengikat sebatang lada kering di rambut ibu pengantin perempuan. Petua ini dipercayai sebagai ikhtiar supaya hari berlangsungnya perkahwinan itu cerah dan tidak ditimpa hujan. Saya, generasi moden yang tidak terdedah langsung dengan petua-petua orang tua zaman dahulu. Ibu, saya juga tidak pernah menceritakan apa-apa mengenainya. Pabila sudah berkumpul bersama sanak saudara, barulah segala petua itu diceritakan. Saya dan sepupu saya tergelak saja, kerana kami rasakan bahawa itu adalah satu petua lucu dan tidak masuk akal.

Lalu, ibu saudara saya menegur,

"Eh, budak-budak ni. Tergelak pula. Ini namanya petua, kita cuma ikhtiar. Selebihnya kita serahkan pada Allah. Doa saja banyak-banyak"




Selesai saja majlis, ibu saudara saya membuka ikatan lada di rambutnya dihadapan kami.. Sekali lagi kami tertawa. Alhamdulilah, majlis berjalan dengan lancar. Sepanjang hari, cuaca elok. Cuma hujan renyai-renyai untuk tempoh yang agak singkat tika tengah hari. Namun, kembali cerah hingga ke petang.








**Mujur, hari itu tidak merah. Semerah warna lada kering itu.. =)

0 Ulasan